Ada seorang pakcik berbangsa Tiong Hua yang aku kenali dalam aktiviti anjuran Kementerian Belia dan Sukan yang aku sertai, dia bercerita kepada aku tentang anak buahnya yang juga seorang guru di sebuah sekolah di tengah Sarawak. Katanya, setiap kali berjumpa ketika bercuti, anak buahnya sering bercerita tentang perasaan kecewa dan tidak puas hati tentang profession yang diceburinya itu. Pakcik tu berpesan kepada anak buahnya, sebagai guru, tanggungjawabmu ialah mengajar. Habiskan saja sukatan tahunan, sama ada mereka pandai atau tidak, itu terpulang kepada usaha dan kehendak pelajar itu sendiri. Ketika itu kau telah pun melunaskan tanggungjawabmu terhadap tugas dan Kementerian.
Alangkah indahnya jika itu adalah sikap yang boleh aku amalkan tanpa timbul rasa bersalah. Dan aku rasa, anak buah dia pun kurang bersetuju dengan pendapat dia.
Guru bukan malaikat. Guru manusia biasa yang rela menghabiskan usianya mengajar anak bangsa. Ada juga di kalangan golongan ini yang dianugerahkan Tuhan dengan kerajinan, dedikasi dan bakat yang amat sesuai dengan kerjayanya di bidang ini yang menjadikan dia setaraf dengan ’miracle workers’. Ada masanya pengorbanan yang dia buat untuk anak-anak didiknya dibalas dengan kejayaan. Walaupun tak ada ucapan terima kasih diiringi titsan air mata dan rangkulan erat anak murid itu, guru itu tetap merasa puas, jika segala kesakitan dan kepayahan yang dia rasakan selama ini membuahkan hasil. Tapi adakalanya sesetengah guru tak mampu untuk mewujudkan the sense of wonderment dalam jiwa anak didiknya, akan bagaimana indahnya ilmu yang ditimba jika ianya dapat diguna pakai dalam kehidupan seharian. Yang mampu dibuatnya ialah menghambur semula ilmu yang telah ditelan sejak dia sendiri masih dibangku sekolah lagi. Kalau baik anak didiknya, mungkin dia ikhlas. Tapi kalau anak-anak didik yang dihadapinya setiap hari hanya baik sedikit je dari Jin Ifrit, aku tak salahkan dia jika dia mengajar dengan rasa tidak ikhlas. Jika dia rasa dia tidak dihargai. Jika dia rasa tak bersalah kalau anak-anak ini gagal di hari muka kelak. Ada sesiapa yang baca blog ini boleh terus bersikap mulia lagi murni jika setiap hari dikeji dihina dilawan diancam dikutuk? Ada sesiapa yang baca blog ini yang boleh terus bersikap penuh kasih dan simpati terhadap makhluk-makhluk bergelar manusia ini jika setiap hari disajikan jamuan yang menyakitkan mata, telinga dan hati?
Aku bukan menulis entry ini untuk menyokong mana-mana pihak dalam apa jua tindakan mereka. Aku cuma nak bagitau, bahawa, agak sukar bagi aku untuk mengamalkan sikap blase macam yang disarankan oleh pakcik tu.
Bukan aku nak kata I am one of the miracle workers. No matter how hard I do my job, aku belum lagi dapat menghasilkan 100% passes in my subject. Jauh lagi perjalanan aku di sekolah ini. Aku nak bagitau, susah untuk aku dan guru-guru ini hanya sekadar mengajar melunaskan sukatan. Sebab walaupun sakit, hati ini tak sampai untuk membiarkan anak-anak ini kekal tak diajar tentang adab. Di situ jugalah masalahnya bermula.
Dan aku juga nak bagitau, ada di kalangan guru di sekolah ini yang benar-benar mampu menghasilkan anak didik yang berjaya dalam subjek yang diajarnya. Tapi sayang, tak lama lagi dia pasti akan berpindah kembali ke kampung halamannya. Memang aku lihat borang permohonan pindahnya di meja kerani sekolah ku saban tahun. Tak siapa pun yang dapat bertahan lama di sekolah ini. Terlalu terpencil. Terlalu jauh dari kampung halaman, yang rata-rata gurunya datang dari segenap pelusuk tanahair. Setahun dua, tiga, empat, sudah pasti hati bagai direnggut-renggut untuk pulang ke kampung halaman masing-masing untuk kembali menikmati kemewahan dan kebebasan hidup yang telah biasa dikecapi selama ini, yang tergendala selama mencurah bakti di kampung ini.
Aku bertuah, dengan saiz badan dan amalan ’tough love’ yang aku gunakan dengan anak-anak aku di sini, sedikit sebanyak dapat merapatkan aku dengan mereka, jadi aku jarang menghadapi masalah anak murid biadab dalam sessi P&P, seperti yang dihadapi oleh segelintir guru di sekolah ini. Manakala yang selebihnya, mungkin dah mula mengamalkan saranan pakcik tu tadi. Kereta tak calar, kepala tak sakit. Siapa yang nak cari nahas, kan?
Aku sayang kampung ini dan orang-orangnya. Aku sayang pengalaman pahit manis aku kecapi dengan rakan-rakan, anak-anak dan orang kampung selama ini. Aku pasti, apabila tiba masa aku melangkah pergi air mata pastikan berlinangan membasahi pipi. Tapi apakan daya? Sebagaimana kasihnya aku terhadap kampung ini dan isinya, suatu hari nanti aku pasti akan meninggalkannya dan kembali ke pekan di pinggir ibu kota yang ku gelar kampung halaman.
Tatkala saat itu tiba, pasti adakah hati yang akan diruntun hiba akan perginya aku selama-lamanya setelah sekian lama bergaul dengan penduduk sekampung? Akan adakah yang masih mengingati diri ini, cacat cela serta istimewanya jika ada, setelah aku pergi? Akan adakah yang akan mengingati cikgu tomboy yang sayangkan anak-anak sekolah ni macam anak sendiri?
Setibanya aku di sini lebih lapan tahun yang lalu, aku tahu aku pasti temui kedamaian di ceruk dunia ini. Kedamaian dan kebebasan dah aku kecapi. Semahu-mahunya. Kini tiba masa untuk kembali ke pangkuan bonda, untuk mengabdikan diri kepadanya sepertimana dia telah lakukan ketika aku masih kecil. Tidak ku menyangka, walaupun saat itu masih agak jauh untuk ku amati, namun hanya sekadar membayangkannya saja sudah memadai untuk memecahkan empangan hati ini.
Berapa lama akan ku ratapi kehilangan yang bakal aku hadapi ini?
Dan apabila aku sudah melontar diriku jauh ke hadapan, untuk menghadapi hidup baru di sana nanti, adakah aku akan menyesali keputusanku?
Wajah-wajah ini akan kekal di dalam jiwa. Tebing sungainya, ketam udang hadiah muridku, mempelam mangga manis bersari menuruni siku, beras dibajai titik peluh ibu angkat ku putih gebu, kaki langitnya tiada penghujung, biru angkasa sedalam lautan, awan gemawan berarak lesu, sawah padi terbentang luas, sungai mengalir jernih menyuci diri, jalanraya pintu kebebasan seolah tiada sempadan, deruan ombak, pasir nan halus di celah jemari kaki, bayu laut manja menyisir rambutku membisikkan kerinduan ibu di telinga ku. Itu semua pasti akan ku tinggalkan. Dan saat itu kini kurasakan amat hampir. Bila tiba masanya adakah aku akan bersedia melambai sanak-saudara angkat dan rakan-rakan yang ku anggap keluarga selama aku di perantauan? Pergi ku yang tak mungkin kembali?
Aku bukan anak jatinya. Jatiku di seberang sana. Sayang dan kasih akan desa ini terus menambat, tapi hati ku mula gelisah. Gelisah ini tiada yang menerangkan. Mungkin doa ibu mula makbul, agar anaknya ini kembali ke pangkuannya. Ibu tidak berdosa merampasku dari semua ini. Memang niatku untuk kembali tanpa kuketahui bila saat dan ketikanya. Kini Yang Maha Esa yang akan memutuskan buat diriku.
Relakah aku akan ketentuan ini? Pasti.
p/s : Bukan niatku mencuba kemampuan berbahasa puitis. Aku ingin merekodkan gelodak jiwa akan keputusan aku hari ini dalam lembaran hari ini dengan sebaik mungkin, agar suatu hari nanti, bila aku kembali ke sini, aku tahu betapa dalamnya cintaku akan desa ini.
No comments:
Post a Comment