Nak tahu?
Setelah setahun lebih mendirikan rumahtangga, banyak benar onak dan duri telah aku lalui bersamanya. Banyak keinginannya yang aku tak suka, tapi aku diamkan saja. Bukan sebab aku lemah atau dah berputus asa, sebab aku tahu Allah maha berkuasa. Sekuat mana pun dia berdoa untuk sesuatu, andainya ianya bakal memudaratkan dirinya, pasti Allah tidak akan memakbulkannya. Lagipun di awal perkahwinan dah aku nyatakan apa yang aku tak suka dan apa yang aku izinkan. Baik cara baik, mahupun cara kasar.
Selama ini, aku selalu bertengkar dengan dia tentang banyak perkara.Terutamanya berkaitan tentang perbelanjaan dan tentang perempuan itu. Namun, akhir-akhir ini, ku rasakan tak ada maknanya terus menghukum dia kerana sememangnya cara dia dibesarkan menjadikan dia agak jahil tentang beberapa perkara. Lagipun, sebagai isteri, mahu tak mahu, aku kena sedar, pendekatan yang aku guna dengan dia selama ini tidak berkesan, maka andai aku inginkan perubahan dalam dirinya, aku juga mesti berubah menjadi wanita idamannya. Tidak lupa juga, aku hanya berserah kepada Ilahi. Aku tahu, hati dan jiwanya milik Allah. Siapalah aku, hamba Allah yang lemah dan banyak kekurangan ni, nak mengubah dirinya ikut citarasa aku, dalam jangkawaktu yang aku tetapkan.
Maka aku bermohon, Ya Allah, sesungguhnya Kau maha mengetahui lagi maha mengasihani, maka aku serahkan segalanya kepada ketentuanMu, ya Allah. Andainya aku teraniaya, maka serlahkanlah yang hak, dan berikanlah petunjuk kepada yang memerlukan. Tenangkan jiwaku dan berikan aku dan mereka petanda.
Hatiku robek ketika itu. Bisikan Iblis mendorong aku berfikiran yang bukan-bukan. Pandangan orang membuatkan aku tambah serong. Tapi aku masih ingat Allah dan zatnya. Aku ingat betapa aku bermohon untuk jodoh yang baik lagi membaikkan, tak kira dalam apa jua pakej sekalipun. Aku redha dan pasrah, ku tarik nafas panjang-panjang... ku bayangkan aku terjun dari tebing yang tinggi; simbolik penyerahan diri kepada kuasa Allah.
Malam Jumaat lepas, perempuan yang sekian lama menjadi onak dalam hidupku kantoi dengan lelaki lain. Dalam rumah yang suami aku belikan untuk dia, dan atas kerelaanku, bakal dibesarkan demi dia dan anak-anak.
So, cancel bina extension rumah. Kereta diambil. Anak lelaki bongsu pun akan diambil. Duit sara anak perempuan akan dimasuk terus ke akaun anak perempuan. Anak lelakinya yang bongsu juga makin rapat dengan daddynya dan aku dan bila-bila saja ingin berpindah tinggal dengan kami, bersekolah di Lawas.
Pada malam akhir sebelum dia ke Semenanjung, dia mohon adik dihantar ke rumahnya untuk malam terakhir sebelum dia berpergian selama sebulan. Dari pagi sampai petang adik resah gelisah. Sampai di depan rumah, adik mengamuk dalam kereta macam orang kena sawan. Dia akhirnya turun dari rumah untuk memujuk. Dia juga diterajang adik. Aku tak mahu adik jadi begitu. Tapi dia juga kecewa mungkin kerana malam semalam dia tidak membuka pintu bila adik hadir di depan pintu. Dia halau aku, dan dengan itu, menghalau adik juga.
Ambillah apa yang bukan hak kamu, maka bila hak kamu dirampas, jangan pula terpinga-pinga.
Aku? Tetap aku. Tetap ceria. Tetap bersyukur.
Berapa ribu pun kawan-kawan kamu menyokong kemungkaran kamu di Facebook, tetap tiada satu pun di kalangan mereka berkuasa menghalang perintah Allah Taala.